Sunday 3 February 2008

Bolehkah PAS Melaksanakan Pendidikan Percuma?

Salah satu persoalan utama yang selalu ditimbulkan apabila PAS mewarwarkan Negara Kebajikan; Bolehkah PAS melaksanakan pendidikan percuma kepada rakyat? Pendidikan percuma ini termasuklah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi seperti ijazah kedoktoran. Jawapannya sudah pastilah boleh. Sebenarnya kos Yuran yang dibayar oleh seseorang pelajar untuk pengajiannya di IPTA paling tinggipun mencecah RM10 000 atau mungkin lebih sedikit untuk sepanjang pengajiannya. Bagi pengajian-pengajian bukan ikhtisas kos yurannya sekitar RM 5000. Jumlah keseluruhan pelajar di IPTA termasuk ijazah lanjutan adalah lebih kurang daripada 250 000. Oleh sebab itu, paling tinggipun kerajaan perlu menambah perbelanjaan 2.5 bilion untuk tujuan pendidikan percuma. Bagaimanapun dipercayai perbelanjaan itu sebenarnya jauh lebih rendah.

Jumlah itu tidaklah besar, malah seandainya zakat 2.5% di ambil daripada keuntungan Petronas berjumlah RM 70.2 Bilion sudah mencukupi membiayai sejumlah besar kos tersebut. Bagi kos sara hidup pelajar, tidak termasuk dalam perkhidmatan pendidikan percuma yang ditawarkan oleh kerajaan. Pelajar membiayai kos hidup mereka sama ada melalui wang saku sendiri, keluarga, biasiswa atau pinjaman. Sehubungan dengan itu, mereka juga boleh melakukan kerja sambilan di luar waktu pengajian sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dalam kerajaan dahulu. Bekerja separuh masa bagi pelajar-pelajar di peringkat pendidikan tinggi ini satu perkara lumrah di negara-negara maju seperti United Kingdom dan lain-lain. Malah kebanyakan pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke negara-negara seperti ini mengambil peluang untuk bekerja separuh masa.

Kelonggaran yang diberikan seperti ini bagi penuntut-penuntut IPTA sebenarnya memberi pengalaman besar kepada mereka. Bagi negara pula, kerajaan sebenarnya telah menyelamatkan sejumlah besar wang negara mengalir keluar melalui pembawaan masuk pekerja asing. Dengan gaji setimpal yang diperolehi oleh pelajar-pelajar IPTA ini pula sebenarnya akan menjana kuasa beli dalam sektor-sektor yang tidak berkembang di Malaysia seperti industri buku dan seumpamanya. Pengalaman yang diperolehi oleh pelajar ini juga boleh menggantikan kursus-kursus keusahawan yang diberikan oleh kerajaan yang sebenarnya turut memerlukan kos yang tinggi untuk disediakan.

Sebenarnya dengan berbelanja secara berhemah, kerajaan boleh menjimatkan sebegitu banyak perbelanjaan yang kemudiannya boleh disalurkan untuk pendidikan percuma. Contoh yang mudah ialah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar di peringkat ijazah pertama ke luar negara kecuali dalam sektor-sektor yang kritikal dan perlu. Kerajaan telah berbelanja besar menghantar pelajar-pelajar ke luar negara dalam bidang pendidikan sains dan matematik semata-mata untuk memenuhi kehendak dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dasar seperti ini merupakan satu contoh perbelanjaan yang tidak berhemah, iaitu mengeluarkan perbelanjaan pada perkara yang tidak perlu. Demikian juga dengan kewujudan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan organisasi di bawahnya, merupakan antara tempat berlakunya perbelanjaan tidak berhemah di IPTA-IPTA yang lebih banyak membantutkan perkembangan pelajar.

Sekiranya pendidikan percuma ini diperluaskan kepada rakyat asing, ia akan menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan pendidikan yang akan menarik ahli akademik dan pelajar dari seluruh dunia. Kedatangan mereka untuk mendapatkan pendidikan percuma di sini akan membawa sejumlah besar wang asing ke Malaysia. Dalam Industri Pelancongan contohnya kerajaan boleh mensasarkan sehingga RM30 bilion, bagaimana pula pelajar yang akan datang ke sini bermastatutin tidak kurang tiga tahun berbanding pelancong hanya 3 minggu, sudah pasti mereka turut menyumbang sejumlah pendapatan kepada ekonomi negara. Paling tidak kedatangan mereka di sini boleh menukarkan dasar kerajaan yang mengutamakan perdagangan buruh kerana ia hanya menguntungkan sekelompok kecil rakyat.

Kemasukan buruh asing ke negara ini hanya menguntungkan agen-agen dan syarikat-syarikat kerana mereka boleh membayar gaji yang murah. Bagi rakyat teramai sebenarnya ia merugikan kerana akan menyebabkan lebih banyak pengangguran dan pengaliran wang negara keluar. Sebaliknya jika yang masuk itu adalah pelajar-pelajar asing yang kemudiannya boleh bekerja sambilan di negara ini, maka wang akan lebih banyak mereka belanjakan untuk tujuan sara hidup dalam tempoh pengajian mereka di sini. Manakala penyelidikan-penyelidikan mereka yang di buat di peringkat ijazah lanjutan sudah pasti menjadi khazanah yang tiada nilainya untuk keperluan negara dan dunia umumnya. Sekiranya Malaysia menawarkan pendidikan percuma seperti ini diyakini ramai pelajar-pelajar dari negara OIC terutamanya berminat untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

Sebenarnya peranan kerajaan memberi pendidikan percuma kepada rakyat seumpama peranan Ibubapa memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak. Sebagaimana ibubapa sanggup berkorban untuk memastikan pendidikan anak-anaknya sempurna, demikianlah juga kerajaan perlu berikhtiar apa sahaja untuk memastikan rakyatnya berilmu. Sebenarnya ada banyak lagi perancangan yang boleh dibuat ke arah melaksanakan pendidikan percuma, cuma 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Oleh sebab itu, manifesto Negara Kebajikan PAS untuk memberikan pendidikan percuma bukanlah satu ilusi, sebaliknya satu realiti yang telah terbukti di banyak negara.