Monday 28 January 2008

Pembangunan Oleh Rakyat Untuk Rakyat Kepada Rakyat

Setelah 50 tahun Merdeka, negara Malaysia sebenarnya melaksanakan pembangunan secara tidak seimbang iaitu bersifat 'top-down' atau dilaksanakan mengikut kehendak pemerintah. Hampir kebanyakan projek-projek pembangunan dibuat berdasarkan kehendak pemerintah melalui dasar dan perancangan yang digubal. Manakala peranan rakyat pula adalah penonton kepada pembangunan dan merasainya sedikit tempiasnya. Lihat sahaja projek berjuta-juta ringgit seperti Perlumbaan Formula 1, Piala Monsun dan seumpamanya, tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat teramai. Tanpa menafikan terdapat projek-projek yang turut memberi manfaat kepada rakyat teramai, tetapi dilaksanakan bagi mengukuhkan pergantungan rakyat kepada parti Pemerintah.

Dalam sebuah Negara Kebajikan, matlamat membina rakyat yang berdiri sendiri adalah merupakan satu tujuan penting. Pembinaan rakyat yang berdiri sendiri ini bermula daripada komuniti terkecil masyarakat iaitu kampung. Negara Kebajikan akan memastikan organisasi yang mentadbir kampung benar-benar dipegang oleh mereka yang berwibawa sehingga boleh mengenalpasti keperluan ahli-ahlinya seterusnya merancang pembangunan di peringkat mikro yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat akar-umbi. Organisasi yang berwibawa ini akan mengemukakan cadangan-cadangan kepada pemerintah berkaitan pembangunan yang diperlukan di kampung masing-masing.

Di samping adanya perancangan di pihak Pemerintah sendiri, pada masa yang sama cadangan pembangunan datang secara bottom-up daripada komuniti terkecil masyarakat yang berdiri sendiri. Malah kadang-kadang komuniti yang berdiri sendiri ini tidak memerlukan sokongan Pemerintah bagi melaksanakan pembangunan-pembangunan tertentu untuk diri mereka. Dengan itu Kerajaan boleh menumpukan kepada persoalan-persoalan keselamatan dan kebajikan yang lebih utama, manakala pembangunan boleh dilakukan oleh organisasi-organisasi lebih kecil yang berwibawa dan boleh berdiri sendiri.

Malangnya di negara Malaysia, Kerajaan sememangnya tidak mahu kepimpinan di peringkat komuniti terkecil ini berwibawa sehingga boleh membawa kampungnya berdiri sendiri. Sebaliknya kepimpinan yang dilantik adalah mereka yang akan menjadikan komuniti ini selama-lamanya mengharapkan pemerintah sehingga akhirnya mereka tiada pilihan lain melainkan terus mengekalkan Pemerintah tersebut. Seterusnya pembangunan yang dilaksanakan adalah atas kehendak pemerintah bukannya secara timbal balik yang datang daripada kehendak rakyat teramai. Dalam Negara Kebajikan pembangunan adalah oleh rakyat untuk rakyat dan kepada rakyat.

Sunday 27 January 2008

Ketelusan dan Ketegasan Agensi Penguatkuasaan

Jaminan terhadap keutamaan kepentingan rakyat teramai tidak akan tercapai sekiranya agensi pelaksanaan dalam sesebuah negara terjerumus dalam amalan tidak sihat seperti salahguna kuasa, rasuah dan seumpamanya. Apa sahaja dasar dan peraturan yang digubal untuk kepentingan rakyat teramai tidak akan berkesan sekiranya agensi penguatkuasaan yang terbabit terpalit dengan amalan seperti itu. Di sini diberikan 2 contoh:

a. Mengapa Harga Minyak Masak Melambung?

Sememangnya tidak boleh diterima akal harga minyak masak di Malaysia melambung sepertimana yang berlaku baru-baru ini. Turun-naik harga sesuatu barangan selalunya akan ditentukan oleh kuasa pemintaan dan kuasa penawaran. Secara logiknya, Malaysia adalah pengeluar minyak sawit yang terbesar di dunia, maka kuasa penawaran bagi minyak masak adalah tinggi. Semakin tinggi kuasa penawaran, semakin rendah harga barangan. Oleh sebab itu, sepatutnya di sebuah negara seperti Malaysia, harga minyak masak adalah rendah atau sekurang-kurangnya stabil.

Kes yang berlaku baru-baru ini menunjukkan bahawa ada pihak-pihak tertentu sama ada pengeluar atau pemborong telah menyimpan stok bekalan minyak masak sama ada dengan niat langsung untuk menaikkan harga barangan tersebut ataupun untuk mendapatkan keuntungan yang lebih besar dengan mengekspotnya ke luar negara. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan agensi penguatkuasaan yang tidak mengambil tindakan terhadap golongan pengeluar dan pemborong seperti ini.

b. Mengapa Kes PATI Tidak Pernah Selesai?

Kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) di Malaysia seolah-olah tiada penghujungnya. Kes ini menggambarkan bahawa sistem pertahanan Malaysia begitu mudah dicerobohi hatta oleh seseorang atau sekumpulan orang asing yang tidak mempunyai pengetahuan tentang selok-belok ketenteraan. Kemasukan PATI ini akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan sosial, ekonomi dan politik negara. Sebagai contoh dalam ekonomi, kemasukan PATI ini akan meningkatkan lagi kadar pengangguran bilamana majikan-majikan mempunyai pilihan yang lebih baik dalam membiayai kos buruh. Mereka akan memilih golongan ini daripada mengambil rakyat tempatan disebabkan rakyat tempatan menuntut gaji yang lebih tinggi. Tindakan seperti ini sebenarnya tidak akan membantu kepada perkembangan positif ekonomi negara, sebaliknya hanya akan memenuhkan kantung majikan-majikan terbabit.

Di sini kita boleh melihat bagaimana lemahnya agensi penguatkuasaan sehingga akan merugikan kepentingan rakyat teramai. Mengapa boleh berlaku kebolosan yang melampau terhadap pihak-pihak yang menjaga sempadan negara sehingga PATI boleh masuk dengan begitu mudah? Mengapa majikan-majikan yang mengambil pekerja asing boleh terlepas dengan begitu mudah? Mengapa majikan-majikan boleh terlepas daripada mendaftar pekerja mereka bagi urusan kutipan cukai pendapatan, simpanan wang pekerja dan lain-lain? Sebenarnya undang-undang yang berkaitan dengan kemasukan pekerja asing ini telah sedia ada di Malaysia, tetapi disebabkan agensi pelaksanaan yang bolos dan tiris maka kepentingan rakyat teramai diabaikan.

Bagi memastikan ketelusan dan ketegasan agensi penguatkuasaan, Negara Kebajikan akan membendung semaksima mungkin gejala salahguna kuasa dan rasuah bermula daripada jerung-jerung sehingga bilis-bilis. Tidak perlu ditubuhkan agensi-agensi lain, sebaliknya sudah memadai dengan mengembalikan semula peranan BPR yang berwibawa. Demi menjaga kepentingan rakyat teramai, BPR seharusnya diletakkan di bawah satu badan yang membolehkan rakyat mengetahui secara telus perkembangan kes-kes rasuah, iaitu Parlimen. Sekiranya laporan penyiasatan telah dibuat tetapi Peguam Negara menyatakan bukti tidak cukup kuat, maka rakyat boleh mengetahui secara telus laporan penyiasatan tersebut. Agak-agak kalau begini, beranikah jerung-jerung tersebut melakukan salahguna kuasa dan rasuah?

Penyuburan Demokrasi

Dalam sesebuah Negara Kebajikan, kepentingan dan keperluan golongan rakyat teramai menjadi keutamaan bagi Kerajaan. Dalam menggubal dasar dan merancang pembangunan, Kerajaan akan meletakkan kepentingan dan keperluan rakyat teramai sebagai agenda terpenting. Dengan pengertian lain, rakyat adalah tuan kepada kerajaan, manakala pemimpin adalah khadam kepada rakyatnya. Bagaimanakah kepentingan dan keperluan rakyat teramai itu boleh diketahui? Jawapannya adalah melalui suara mereka. Oleh sebab itu, tidak mungkin sesebuah Kerajaan boleh mengetahui kehendak rakyat teramai sekiranya ruang untuk mereka bersuara tertutup rapat. Kehendak rakyat dapat diterjemahkan melalui:

a. Pilihanraya iaitu hak rakyat untuk memilih pemimpin yang dilihat boleh menyempurnakan kehendak mereka. Pilihanraya mestilah benar-benar demokratik supaya rakyat benar-benar boleh memilih berdasarkan maklumat yang mereka terima secara adil dan tidak dipengaruhi oleh rasuah politik. Suruhanjaya yang mengendalikan pilihanraya mestilah dipercayai dan dihormati oleh semua pihak dan bukan sekadar bebas berkecuali tetapi juga haruslah dilihat bebas berkecuali.

b. Dewan Rakyat atau Dewan Udangan Negeri iaitu forum di kalangan wakil-wakil rakyat untuk bersuara bagi pihak rakyat yang mereka wakili. Dalam sesebuah forum seperti ini kewujudan kepartaian seperti Kelab Penyokong Kerajaan dan blok pembangkang perlu dihindarkan. Sebaliknya setiap wakil rakyat bercakap untuk kepentingan rakyat teramai. Setiap wakil rakyat bukan sekadar mempunyai imuniti daripada undang-undang, tetapi yang lebih penting mempunyai imuniti daripada peraturan-peraturan parti politik yang mereka sertai.

c. Dewan Negara iaitu forum yang seharusnya menjadi kuasa penyemak kepada keputusan-keputusan yang dicapai oleh Dewan Rakyat. Mereka seharusnya terdiri daripada tokoh-tokoh yang tidak berkepentingan mewakili pelbagai sektor seperti ahli-ahli akademik dan juga pemimpin-pemimpin pertubuhan. Mereka bukan dianggotai oleh golongan yang dikitar semula disebabkan terpinggir daripada arus perdana politik negara.

d. Masyarakat Sivil iaitu pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kepentingan tertentu rakyat seperti golongan mahasiswa, kesatuan sekerja, pertubuhan sosial dan lain-lain. Mereka seharusnya diberi kebebasan bersuara dan berhimpun selama mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara. Hak mereka bersuara seperti penerbitan dan penerangan tidak boleh disekat sama sekali, manakala Kerajaan sewajarnya menyediakan ruang yang selamat untuk mereka berhimpun seperti ruang Sudut Pidato (terdapat beberapa bandar utama seperti London).

e. Media Massa iaitu media yang bebas bagi menyuarakan kehendak rakyat sama ada berbentuk cetak atau elektronik. Demi memastikan setiap pihak berhak menerbitkan dan menyiarkan suara mereka, maka kelulusan dan pemantauan mereka dilakukan oleh sebuah badan berkecuali yang bertanggungjawab terhadap Parlimen atau Yang di Pertuan Agung.