Wednesday 20 February 2008

Negara Kebajikan Bukan Negara Subsidi

Kebanyakan ulasan-ulasan dangkal tentang Negara Kebajikan menganggap bahawa negara seperti itu akan memberikan subsidi sepenuhnya kepada rakyat. Mereka menyebut apabila rakyat diberi subsidi maka mereka akan malas bekerja justeru Malaysia akan kekurangan daya saing. Sedangkan konsep Negara Kebajikan yang diketengahkan oleh PAS bukannya negara yang pemerintahnya memberikan subsidi sepenuhnya kepada rakyat. Pemberian subsidi kepada rakyat hanya disalurkan kepada perkara-perkara berikut:

a. Keperluan asasi ataupun dalam konteks ekonomi Islam disebut 'Dharuriyat', iaitu keperluan yang diperlukan oleh manusia, sekiranya manusia tidak memperolehinya boleh menyebabkan bencana yang besar. Keperluan asasi ini telah cuba diperjelaskan oleh PBB sendiri melalui Laporan Brundtland 1987 iaitu termasuk kesihatan, pendidikan, penempatan dan lain-lain. Dalam konteks ini kerajaan bertanggungjawab memaksimakan penyaluran subsidi supaya seluruh rakyat boleh memperolehi keperluan yang sangat asas seperti ini.

b. Golongan yang tidak berupaya seperti golongan cacat, orang tua-tua, kanak-kanak, ibu-ibu tunggal dan lain-lain. Dalam sesebuah Negara Kebajikan subsidi diberikan bagi membolehkan semua golongan ini hidup selesa seperti rakyat yang berupaya. Golongan-golongan seperti ini tidak mempunyai pendapatan yang tetap, sehingga boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar. Sebagai contoh pernah berlaku baru-baru ini ibu tunggal terpaksa mengurung anak mereka ketika keluar bekerja, disebabkan terpaksa berbuat demikian untuk menyara kehidupan keluarganya. Akhirnya anaknya telah terperangkap dalam kebakaran. Maka pemerintah dalam Negara Kebajikan akan menyalurkan subsidi yang munasabah demi memastikan kesejahteraan rakyat.

c. Melibatkan kepentingan strategik seluruh rakyat seperti gas, petrol dan diesel. Kesemua bahan bakar ini merupakan perkara yang diperlukan oleh seluruh rakyat daripada golongan terkaya sehingga golongan termiskin. Kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan kenaikan seluruh barangan keperluan yang akan menjejaskan kehidupan rakyat terutama golongan miskin. Oleh sebab itu pemerintah dalam sebuah negara kebajikan wajar menyalurkan subsidi bagi memastikan kepetingan strategik seperti ini boleh mengekalkan kehidupan rakyat yang selesa.

d. Demi menjamin keselamatan rakyat, iaitu pemerintah bertanggungjawab menyediakan prasarana yang boleh memberi jaminan tinggi kepada keselamatan rakyat. Dalam konteks Malaysia, contoh yang terbaik ialah keselamatan jalanraya. Penggunaan lebuhraya sudah pasti lebih selamat berbanding penggunaan jalanraya sempit dua lorong. Sepatutnya subsidi diberikan untuk menggalakkan rakyat menggunakan lebuh raya bukannya dikenakan tol untuk mendorong rakyat memilih jalanraya sempit. Malah sepatutnya pemerintah menyediakan kemudahan percuma yang selamat kepada rakyat dalam aspek keselamatan pengangkutan ini. Bukankah di Malaysia kemalangan jalanraya antara pembunuh nombor wahid negara?

No comments: