Wednesday 13 February 2008

Perkhidmatan Kesihatan Saksama Melalui SPKN

Dalam teras kelima Manifesto PAS ada disebutkan: "Mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) setiap rakyat yang tidak mempunyai Skim Perlindungan Kesihatan daripada majikan masing-masing agar dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di semua hospital kerajaan atau pun swasta." Agenda ini merupakan sebahagian daripada usaha yang boleh dibuat oleh PAS sekiranya diberi peluang memerintah, untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik dan percuma kepada rakyat. SPKN yang dicadangkan oleh PAS hampir menyerupai National Health Service (NHS) yang ditubuhkan pada tahun 1948 di United Kingdom. NHS adalah satu model pelaksanaan perkhidmatan kesihatan yang paling berjaya di dunia sebagaimana diitiraf oleh Pertubuhan KesihatanSedunia (WHO). Sehingga hari ini, rakyat Malaysia yang pernah belajar di United Kingdom pasti memperakui perihal NHS yang cukup berwibawa.

Sebenarnya model perkhidmatan kesihatan di Malaysia banyak mewarisi model perkhidmatan kesihatan United Kingdom selepas kemerdekaan. Dengan sebeb itu, pada awal-awal zaman kemerdekaan sehingga akhir 1970-an, perkhidmatan kesihatan di Malaysia masih mengekalkan perkhidmatan yang hampir percuma kepada rakyat. Generasi pelajar pada era ini pasti masih ingat bagaimana van-van kesihatan bergerak datang ke sekolah-sekolah menawar pelbagai perkhimatan termasuk memberi ubat cacing kepada pelajar-pelajar secara berkala. Demikian juga ibu-ibu yang akan dan lepas bersalin dikunjungi secara kerap oleh bidan-bidan kerajaan bagi memastikan kesihatan ibu dan anak yang baru lahir terjamin. Tetapi segala perkhidmatan seperti ini telah semakin pupus dan akan menjadi bahan sejarah sekiranya BN terus memerintah.

Kesemua kemudahan perkhidmatan kesihatan seperti ini mula terhapus setelah Malaysia memperkenalkan Dasar Penswastaan dan meniru model perkhidmatan kesihatan Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat perkhidmatan kesihatan tidak lagi menjadi keperluan asasi rakyat, sebaliknya telah menjadi satu daripada komoditi atau barangan untuk diperniagakan. Serentak dengan itu perkhidmatan kesihatan di Malaysia tidak lagi berdasarkan 'siapa perlu' tetapi berasaskan 'siapa mampu'. Hanya golongan yang mampu dapat memperolehi perkhimatan kesihatan kelas pertama, manakala golongan yang tidak mampu dinafikan hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau sekadar mendapat perkhidmatan kesihatan kelas ketiga. Sama ada secara sengaja atau tidak mutu perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh hospital dan pusat kesihatan awam merudum dengan teruk.

Sekiranya SPKN mengambil NHS sebagai model, maka peranan kerajaan dalam perkhidmatan kesihatan ialah mengeluarkan sejumlah dana untuk kesihatan rakyat dan memantaunya melalui akta-akta berkaitan yang diwujudkan. Manakala yang menguruskan perkhidmatan kesihatan ini adalah sebuah organisasi bebas berwibawa yang sampai ke akar-umbi masyarakat. Organisasi ini mendapatkan dananya daripada kerajaan dan tabung-tabung amanah yang digerakkan oleh badan-badan yang bergabung dengannya. Dalam konteks Malaysia, tabung khairat yang ditubuhkan di masjid-masjid contohnya boleh berperanan seperti ini, tidak terhad kepada khairat kematian seperti yang ada sekarang. Manakala forum-forum rakyat termasuk NGOs yang berkaitan dengan kesihatan menjadi jambatan penghubung organisasi ini untuk mengetahui keperluan kesihatan setiap rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam konteks ini, perkhidmatan kesihatan yang diberikan akan berpaksikan kepada tiga prinsip utama:

a. Perkhidmatan kesihatan yang sampai ke akar umbi masyarakat melalui jambatan yang dibina oleh badan-badan berkaitan dengannya serta badan-badan awam yang sampai ke setiap penempatan masyarakat.

b. Perkhidmatan rawatan kesihatan diberikan secara percuma melalui dana yang disediakan oleh kerajaan, manakala untuk mendapatkan ubat-ubatan dan peralatan kesihatan seseorang pesakit boleh dibiayai oleh tabung-tabung amanah kesihatan, atau badan-badan kebajikan atau majikannya atau boleh juga mendapatkan pembiayaan langsung daripada kerajaan.

c. Perkhidmatan kesihatan disediakan berasaskan keperluan bukannya berasaskan kemampuan. Setiap yang perlu akan diberikan perkhidmatan dengan tidak menghiraukan dia mampu atau tidak. Ketidakmampuannya akan disokong oleh tabung-tabung amanah, badan-badan kebajikan atau dana kerajaan sendiri.